Entri Populer

Permulaan Ilmu Kimia dan Teknologi Kimia

Ilmu kimia sebagai satu disiplin telah bermula di Negeri Cina dan di Greece (Wan Fuad Wan Hassan 1990). Paradigma yang dipelopori di kedua-dua tamadun tua ini hampir sama. Mengikut ahli kimia Cina, semua benda dikatakan terjadi daripada dua unsur atau prinsip Yin dan Yang. Mengikut ahli kimia Helenistik pula, setiap benda terjadi daripada dua prinsip iaitu raksa dan belerang yang seterusnya terdiri daripada empat unsur iaitu api, udara, tanah dan air; dan empat sifat iaitu lembab, kering, panas dan sejuk. Kedua-dua pihak yakin bahawa timah hitam boleh diubah kepada emas dengan mengubah kadar prinsip-prinsip ini yang ada di dalam timah hitam itu. 



Sumbangan Tamadun Islam
Paradigma kimia Cina dan Greek-Helenistik ini amat berpengaruh sehinggakan prinsip paradigma al-kimiya Islam dan alchemy yang dipengaruhi kedua-dua paradigma tua itu tidak berubah selama hampir seribu tahun. Walaupun demikian, Jabir bin Haiyyan telah menyumbang kepada paradigma kimia ini dengan tafsirannya tersendiri yang berpaut erat dengan Tawhid dan Syari`ah. Meski pun Al-Razi menolak keseluruhan paradigma Jabir dan mencadangkan paradigma al-Usul al-Khamsahnya yang tersendiri (Nasr 1976), kebanyakan ahli al-kimiya Islam dan alchemist Eropah selepas itu masih berpegang kepada paradigma Jabir sehinggalah ke abad keenam-belas apabila berlaku revolusi sains.

Sumbangan besar tamadun Islam dalam bidang teknologi kimia ialah antara lain proses penyulingan (taqtir atau tas`id), peralatan teknologi kimia dari bikar hingga ke penyuling (qar` dan al-ambiq); dan kaedah menghasilkan minyak pati (`itr), naft atau naftah (petroleum), al-kuhul (alkohol), asid galian seperti asid nitrik, sulfurik (ruh al-saj) dan hidroklorik; dan al-qali (alkali) melalui antara lain proses penyulingan ini.

Para ahli teknologi kimia Islam juga telah mencipta proses pembuatan sabun keras, memperbaiki proses pembuatan kaca, dan licauan untuk tembikar serta mencipta ubat bedil atau barud (gunpowder). Pengunaan teknologi kimia untuk menghasilkan ubat-ubatan untuk perubatan juga disorot.

Ahli al-kimiya Islam seperti Jabir dan al-Razi dalam penulisan mereka telah mengetahui bahawa pembuatan bahan kimia berlaku melalui proses-proses kimia seperti penyulingan, penyejatan, pengeringan, penurasan, penghabluran, pemejalwapan dan sebagainya (al-Hassan dan Hill 1986 dan Nasr 1976). Konsep perubahan kimia melalui beberapa peringkat proses ini merupakan satu konsep kejuruteraan kimia yang penting iaitu konsep kendalian unit. Konsep ini akan dihidupkan semula oleh perintis kejuruteraan kimia moden, G. E. Davis di England hampir seribu tahun kemudian.

Penyulingan
Walau pun ada laporan bahawa terdapat ahli kimia Helenistik di Iskandariah seperti Pliny (abad pertama Masehi), yang tahu tentang penyulingan akan tetapi penggunaannya dalam kimia Helenistik amat terhad sekali seperti yang jelas diketahui tentang kimia di zaman Helenistik itu (Davies dalam Furter, 1980). Al-Kindi dalam bukunya Kitab Kimiya al-`Itr wa al-Tas’idat (Buku tentang Kimia Minyak Pati dan Pemejalwapan (Penyulingan)) yang diterbitkan pada abad kesembilan 

Masehi telah memperihalkan beberapa jenis penyuling (al-Hassan dan Hill, 1986). Penyuling-penyuling ini dipanaskan oleh rendaman air ataupun oleh api, dan cecair yang mewap disejuk dan diwapcairkan di permukaan kepala penyuling dan tiub panjang dengan pemindahan haba ke udara sekeliling. Ahli kimia Islam juga telah mencipta penyuling jenis retort

Walaupunketiga-tiga jenis penyuling ini, tidak menunjukkan penyejukan sulingan dengan air akan tetapi penyejuk air sejenis penyuling yang moden masih digelar kepala orang Moor (Muslim di Maghrib). 

Paradoks ini hanya boleh dijelaskan dengan menganggap penyejukan sulingan dengan air merupakan perkembangan akhir penyuling dari tamadun Islam. al-Hassan seorang ahli sejarah teknologi Islam telah mencadangkan bahawa penyulingan merupakan sumbangan ahli teknologi Islam yang amat penting kepada perkembangan teknologi kimia moden (al-Hassan dan Hill, 1986).
 
Melalui penyulinglah, ahli kimia Islam telah berjaya mengasingkan al-’atr atau minyak pati daripada bunga dan tumbuhan seperti yang diperihalkan oleh al-Kindi dalam bukunya itu. Al-’atr merupakan bahan yang digemari oleh Rasulullah s.a.w. dan disunatkan memakainya ketika hendak menunaikan solat. 

Oleh itu, industri minyak pati tumbuh menjadi satu industri yang tidak ada tolok bandingnya sebelum atau selepas itu. Pusat industri ini ialah Damshik dan minyak pati dan air mawar diekspot hingga ke India dan Cina. Al-Dimashki telah menulis Kitab Nukhbat al-Dahr pada abad seterusnya tentang industri ini di Damshik (al-Hassan dan Hill 1986).

Ahli teknologi kimia Islam telah buat pertama kalinya menggunakan penyuling untuk memisahkan minyak mentah dari Baku kepada naft putih (pecahan ringan) dan naft hitam (pecahan berat). 

Warisan ini jelas diungkapkan dalam istilah Inggeris naphtha yang masih digunakan secara meluas untuk pecahan minyak yang mengandungi rantai lurus C6 yang juga merupakan ramuan terpenting untuk minyak petrol yang digunakan dalam enjin kebakaran dalaman kereta. 

Al-Razi telah memperihalkan penyulingan minyak mentah dalam Kitab Sirr al-Asrar (al-Hassan dan Hill, 1986). Industri minyak ini berkembang di Baku, Mosul, Sinai dan Khuzistan, dan daerah-daerah ini masih menghasilkan minyak mentah hinggalah ke hari ini. Sifat minyak naft sebagai pelarut dan sebagai bahan yang mudah terbakar telah dicerap dan digunakan oleh ahli teknologi kimia Islam.


Alkohol
Kebanyakan ahli sejarah teknologi Barat berpendapat bahawa alkohol telah ditemui oleh Adelard of Bath pada abad kedua-belas Masehi berdasarkan kepada karya beliau yang berjudul Mappae Clavicula tentang kegiatan perubatan di Salerno, Itali yang memperihalkan kaedah menghasilkan alkohol (al-Hassan dan Hill, 1986). Pendapat ini diperkuatkan lagi dengan karya Marcus Graecus yang berjodol Liber Ignium seabad kemudian.

Perkataan alkohol itu jelas merupakan pengInggerisan perkataan Arab al-kuhul. Proses menghasilkan al-kuhul dan sifat-sifatnya telah diperihalkan secara terperinci oleh ahli kimia Islam al-Kindi dalam Kitab Kimiya al-’Itr wa al-Tas`idat dan sifat kebolehbakarannya dicerap dan digunakan oleh Jabir bin Hayyan lebih daripada tiga abad sebelum Adelard (al-Hassan dan Hill, 1986). Adelard dan Marcus Graecus juga merupakan penterjemah karya Arab kepada Latin yang terkenal dan pengaruh karya Arab terhadap karya mereka jelas.

Jelaslah alkohol atau al-kuhul ditemui oleh ahli kimia Islam. Asid-asid Galian, Alkali dan SabunAsid-asid galian seperti asid nitrik, hidroklorik dan sulfurik yang merupakan bahan teknologi kimia yang penting dalam perkembangan industri kimia hinggalah ke hari ini, telah dihasilkan oleh ahli teknologi kimia Islam melalui penyulingan. Jabir bin Hayyan dalam Sanduq al-Hikmah telah memperihalkan proses menghasilkan asid nitrik dengan menyuling campuran nitre (kalium nitrat), vitriol 

Kubrus (kuprum sulfat) dan alum Yemen (aluminium sulfat). Jabir bin Hayyan tahu bahawa sekiranya asid nitrik ini dicampur dengan sal ammoniak (ammonium klorida), campuran asid nitrik-asid hidroklorik (aqua regia) yang terhasil boleh melarutkan emas yang seterusnya boleh dipisahkan daripada perak (al-Hassan dan Hill, 1986). 

Al-Razi telah memperihalkan proses menghasilkan asid sulfurik (ruh al-saj) dengan menyuling vitriol hijau (ferus sulfat) atau dengan membakar belerang (sulfur) pada abad kesembilan Masehi (al-Hassan dan Hill, 1986). 

Pendapat ahli sejarah teknologi Barat bahawa asid sulfurik dihasilkan buat pertama kalinya di Nordhausen, Eropah dengan penyulingan vitriol pada abad ketujuh-belas (Derry dan Williams, 1960) jelas tidak betul! Al-qali (alkali) amat diperlukan untuk membuat kaca, licauan dan sabun. Al-Razi telah memperihalkan kaedah menghasilkan al-qali daripada abu kayu oak dan daripada pohon solsola soda (al-Hassan dan Hill, 1986).

Artikel Yang Berhubungan



Tidak ada komentar:

Posting Komentar

chemist book